Total Pageviews

Wednesday 31 December 2014

ubi keling?ubi kemili.

Assalammualaikum
Iqa kata Fateha ada post gambar ubi keling dalam FB.Mana rupa lah pulak yang dikatakan ubi keling ,aku tak pernah dengar .Aku cuba tanya cik google baru lah tau ubi kemili rupanya.

Ubi kemili ni aku dah biasa sangat sejak dari zaman budak2 dulu tapi aku rasa orang kampung aku ada nama lain dari nama ubi kemili ni tapi tak pernah pulak mereka kata ubi keling .Biasanya di pasar2 lambak atau pasar tani kat kampung aku ada jual ubi ni ...tapi tak lah hitam sangat kulitnya .Mungkin faktor tanah kot....
Ubi kemili ni roommate fateha bawa pulang dari Terengganu.Orang2 yang duk pantai timur mungkin dah biasa dengan ubi keling ni. Fateha  memang agak hairan sebab tak pernah jumpa lagi ubi ni ...itu yang beria sangat post kan gambar..Ketika ni di daerah kediaman kami nak jumpa ubi ni rasanya agak payah....tak ramai dah yang menanam ubi ni
Seingat aku masa budak2 dulu jika ada majlis kecil2an seperti lenggang perut untuk wanita hamil sulong selalu ada ubi kemili ni ....itu yang aku lihat kat rumah jiran ketika itu.Aku pun tak faham apa2 pun.
Aku sendiri pun dah lama benar tak makan ubi ni...tapi yang pasti satu ketika dulu aku kurang gemar rasanya .Tapi tak taulah bila dah berusia ni mungkin selera dah berubah.....


Tuesday 30 December 2014

angin di dinihari

Assalammualaikum
salam selasa yang suram.
Pagi ini awan hitam masih pekat  menyelubungi daerah kediaman kami .2 hari cuaca agak cerah tanpa hujan .Namun pagi ini mendung yang memberi erti hujan bakal turun bila2 masa .Walaupun kami tak khuatir masaalah banjir di sini namun hati kecil sentiasa memikirkan saudara2 kita yang menghadapi saat getir terlibat dalam banjir terutama di Pantai Timur sana .Untuk memulakan kembali kehidupan ,ada yang terpaksa bermula dari kosong ....bertabah lah wahai sahabat2 dan saudara2 dengan ujian Nya.
Lebihkurang pukul 2.30 pagi tadi angin agak kencang di daerah kami walaupun tanpa disertai hujan  Rumah tertutup rapat namun desiran angin yang agak kuat menjadikan kami terjaga dari tidur yang lena.Gusar memikirkan sesuatu tak diingini berlaku.Cuaca yang sememangnya sejak petang agak suram ,dinginnya menusuk ke tulang hitam .
Pukul 3 lebih Iman mengetuk pintu bilek ....kami dah tahu dengan perangai nya yang begitu penakut bila angin agak kuat. Kami biarkan dia tidur di bilek kami .Iqa juga turut terjaga dan beralih tidur di ruangtamu ...Dalam keadaan berangin ni sempat juga aku berbual dengan suami.Bagaimana agaknya keadaan nelayan di laut ketika keadaan seperti ini ..aku bertanya ...sampai ke situ fikiran ku melayang jauh .
Angin mula reda ketika hampir jam 6 pagi....walaupun sebelum tu aku sempat zzzzzz kerana terlalu mengantuk .Si ayah yang tak kembali tidur terus bersiap awal untuk pergi kerja .

Friday 26 December 2014

simpati

Assalammualaikum
salam Jumaat
Di luar sana cuaca masih mendung menandakan hujan bakal turun lagi.Simpati dengan nasib mangsa2 banjir dan makhluk2 Allah yang lain ...bagaimana nasib mereka seperti kucing2 jalanan dan haiwan2 lain.Itulah yang terfikir dibenak ku ketika melihat berita2 terkini tentang banjir di media2.
                                          kasihan kan si comel2 ini...



                          dari sumber; facebook

Thursday 25 December 2014

bila banjir

Assalammualaikum
hari ini tentu ramai yang bercuti sempena Hari Krismis.....tapi dalam musim tengkujuh seperti ini rasanya tak elok lah ke tepi2 laut ....agak merbahaya.Kasihan kan pada mangsa2 banjir terutama di pantai2 timur sana....bukan saja barang2 yang musnah malah ada juga rumah juga di hanyutkan air.Bagi pelajar2 yang nak memulakan sekolah awal tahun ni tentunya tak sama dengan persiapan anak2 kita yang tak mengalami banjir di sini.
Awal pagi ni melihat MHI katanya kemungkinan gelombang banjir akan melanda Johor pula selepas ini.Walaupun kawasan tempat tinggal kami tak terjejas tapi hati sentiasa bimbang bila tunggak keluarga kami terpaksa melalui jalan2 yang selalu terjejas setiap hari untuk pergi balik kerja.
Cuaca pagi ini pun walaupun dah pukul 8 pagi tapi agak gelap dilindungi awan hitam tanda2 akan hujan .Rasanya bagi budak2 yang masih cuti sekolah ni seronok menyambung tidur dalam cuaca sejuk ni .Tapi Iman ni kalau dah bangun suboh susah lah dia nak tidur semula  ...ada saja je yang dibuatnya mengacau orang.
satu ketika dulu anak saudara aku ditugaskan di negeri Terengganu sementara suaminya pula bekerja di Shah Alam .Biasanya si suami akan pulang ke Tgganu setiap 2 minggu sekali untuk menemui anak isteri.Tapi bila dah banjir seperti ini terpisah lah mereka agak lama..anak2 pun masih kecil2 ketika itu....alhamdulilah sekarang mereka dah tukar kerja di Johor .
Bila cerita pat banjir ni teringat masa budak2 kat kampung dulu.Sepanjang pengetahuan aku banjir di kampung dulu tak lah seteruk sekarang ni .Di halaman rumah aku pun selalu juga banjir dek kerana parit tersumbat tapi paling dalam pun setakat paras lutut.Bila arwah bapa korek parit air akan kering yang tinggal becak sana sini....Masa budak2 seronok main air banjir ...tak kisah pun kotoran2 yang ada pada air banjir tu.....tapi kalau la ni mau aku naik angin bila anak2 main air rupa ni....hihiii.
Apa pun kita doakan untuk mangsa2 banjir agar dugaan ini akan cepat berakhir...mungkin ada hikmah disebalik musibah ini.
.

Wednesday 24 December 2014

cuba menolong

ASSALAMMUALAIKUM
Alhamdulillah bila celik mata pagi ni aku masih berada di Rumahku Syurgaku ....walaupun masaalah bleeding aku masih berterusan namun aku rasa lebih segar dari sebelumnya .Semalam setelah berbincang dengan suami aku mengambil keputusan untuk berjumpa doktor lain.Doktor yang satu ketika dulu selalu merawat MIL.Aku tak pasti berapa dah umor doktor ni sebab masa MIL aku selalu buat rawatan dengan dia SIL aku masih budak2 lagi sekarang SIL aku dah pun ada 8 orang anak .MIL aku dah pun meninggal dunia 10 tahun dulu ...doktor tu tetap maintain .
Aku dinasihatkan banyak berehat seperti yang Kakzakie bagitau jangan renyah.Tapi dah biasa buat kerja2 rumah ...duk berehat je buatkan aku tak senanghati bila melihat habuk dan barang2 bersepah.Biasalah cuti sekolah ni ,lagilah dengan anak bujang berdua ni...walaupun mereka juga cuba menolong buat kerja sikit2.Azim bila disuroh sapu sampah ...dibuatnya juga tapi  habuk pun banyak yang tertinggal.Pagi ni pun kononnya Iman tolong basuh kain baju tapi sebenarnya cuma picit2 suis je ....washing machine buat kerja sendiri.
Semalam Iqa kata mak berehat je Iqa nak masak untuk makan tengahhari .Cadangnya nak masak asam pedas ayam....tapi tak tau bagaimana.Aku  terangkanlah apa yang patut ....tapi bila dah disiapkan bumbu2nya ,bila ditanya ayamnya dah dibasuh....belum ...katanya....aduhai anak.Masa memasak pun setiap minit bertanya....udahnya aku duduk di dapur je senang utk dia dan aku .Alahai anak dara aku ni ...tok nenek korang baya kamu dah beranak pinak. ..Bila dah duduk di asrama sejak tingkatan 1 ni jengah ke dapur pun sekali sekala ...nak bezakan kunyit halia pun payah....
Apa pun si ayah beri 4 dari 5 bintang asam pedas ayam Iqa....sedap katanya.Sebelah petang si ayah buat lempeng pekak untuk dicicah dengan kuah asam pedas ...licin periuk penangan asam pedas ayam Iqa.

Tuesday 23 December 2014

masih begini

Assalammualaikum
walaupun iron tablet dan ubat henti bleeding telah banyak aku telan tapi keadaan tetap sama tak ada perubahan .Siang malam bleeding berterusan terasa lemah dah badan walapun masih ada selera untuk makan .Rasanya dah tak larat nak tunggu 28hb ni....sengal terasa terutama bahagian pinggang.
Cadangnya selesai suami uruskan pembelian buku  dan barang2 sekolah Azim nanti kena juga jumpa doktor lagi.Kalau tak ada masalah bolehlah balik rumah....tapi kalau sepi tanpa berblog atau tak menegur kawan2 di blog maknanya kena tidur kat hospital lah walaupun hati tak rela....

Monday 22 December 2014

hospital hospital lagi

ASSALAMMUALAIKUM
  salam Isnin
  Hari Jumaat lepas pergi ke hospital HSA lagi ke ICU bila diberitahu sepupu suami dalam keadaan kritikal.Meredah hujan yang bepanjangan seharian...mujor jalan dilalui tak dinaiki air walaupun ada sedikit kesesakan.Walaupun bagi pelawat lain boleh masuk bila2 masa di hari kelepasan Jumaat dan Sabtu ni namun kat ICU kena tunggu masa melawat.Agak ramai sahabat dan saudaramara yang datang ,giliran kami pun agak lambat...balik pun dah hampir senja
Hari Sabtu dapat telefon dari sepupu suami yang makciknya dalam keadaan koma di hospital Kulai .Tengahhari itu juga kami pergi melihat keadaannya di sana.Berumor 80 tahun ..itulah saja satu2 nya makcik suami yang masih ada....seorang yang lemahlembut dan suami agak rapat dengannya.
Setelah 2 hari berturut2 ke hospital ..semalam giliran aku pula terpaksa ke hospital kerana bleeding yang teruk sepanjang 3 hari ni.Mujorlah tak perlu masuk wad ...setelah dibekalkan ubat2an tunggu dan pantau sepanjang 2-5hari ni dulu.
Kalau boleh aku tak mau masuk wad ...tak suka masuk wad ...pengalaman menjaga anak di wad dan pengalaman tinggal di hospital waktu bersalin menjadi kan aku tak suka duk di wad....sebabnya bukan apa pun ....sukar untuk aku nak tidur walaupun dalam keadaan rehat ....
Bagaimana pun jika keadaan aku berterusan ...terpaksalah aku redha walaupun risau juga memikirkan persiapan persekolahan budak berdua ni belum siap sepenuhnya .Iman dah pun beli buku semalam walaupun aku dalam keadaan lemah untuk beratur yang panjang ...udahnya Iman yang beratur ...bila tiba giliran baru aku  ke tempatnya.
Biasalah anak2  bila urusan2 persekolahan ni ,nak maknya juga uruskan baik dari soal pembelian pakaian atau buku2....aku sendiri pun rasa lebih senanghati bila uruskan sendiri....bimbang ada yang tak selesai nanti.....bagaimana agaknya keadaan anak2 bila takada mak?...

Friday 19 December 2014

ciptaan Allah

ASSALAMMUALAIKUM
Buat renungan kita bersama di hari Jumaat yang mulia ini


Thursday 18 December 2014

sebagai ikhtiar

Assalammualaiikum
salam Khamis
Habatus sauda (jintan hitam) itulah yang kakak aku beri sewaktu dia datang ke rumah tempohari sebagai satu ikhtiar untuk masaalah fibroid yang aku alami ini .Disamping ubat2 yang dibekalkan dari hospital aku telan juga lah habatussauda ni.Lagipun aku tahu banyak kebaikan dan khasiatnya...apatah lagi ia makanan sunnah Rasullah s.a.w.Baginda pernah bersabda "sesungguhnya habatus sauda adalah penyembuh segala penyakit kecuali penyakit sham.Ditanya apa itu penyakit sham?.Beliau berkata sham ada kematian (Riwayat Al Bukhari dan Muslim).Sebelum ini aku hanya tau nama dan khasiatnya tapi tak pernah tau bagaimana rupa.Kakak pun bawakan habatus sauda ni dalam bentuk kapsul ...nak tengok rupanya kena lah jengah cik google ..

      Dalam menanti hari temujanji dengan doktor pakar di hospital kerajaan memang mengambil masa dan menanti giliran .Giliran temujanji aku hanya pada Januari nanti.buat masa ni aku sehat saja tapi agak menjejaskan ibadahku dengan masaalah seperti kebanyakan pesakit fibroid hadapi.Untuk ke hospital swasta rasanya tak perlu  dengan tanggungan suami dah cukup berat dengan anak2 yang masih belajar.Apatah lagi tahun depan Iqa akan menyusul kakak dan abangnya.Sebagai isteri dan ibu rasanya keutamaan mereka lebih penting dari diri sendiri...

Monday 15 December 2014

ke hospital

Assalammualaikum
Malam Sabtu lepas aku dapat sms dari sepupu minta tolong hantar dia ke Hospital Sultanah Aminah .Katanya tak berdaya  nak tunggu esok bila dapat panggilan dari hospital memberitahu suami dia perlu pembedahan lagi kerana masaalah pada ususnya pula padahal tak sampai pun 2 minggu lepas telah dilakukan pembedahan pundi kencing .Suami sepupu sememang telah disahkan  kanser pundi kencing , baru saja diketahui tak sampai pun 2 bulan...dah agak kritikal .terus terpaksa dilakukan pembedahan .
Seorang yang peramah dan suka sangat dengan hobinya memancing...bila jumpa kawan sekepala takde dah cerita lain .Tak pernah hadapi masalah kesihatan yang serius....tapi tak sangka kanser dah lama bersarang dalam badan dia.
Rumah sepupu di Bandar Tenggara ,agak jauh juga dari rumah kami....tapi kasihan dengan keadaan yang cemas seorang diri di rumah ,kami suroh anak2 bersiap untuk ikut serta .Suami aku  tak mahu anak2 tinggal di rumah atau menumpang jiran .Malam itu ke Bandar Tenggara lah kami dan terus ke Johor Baharu ...tiba di hospital pun dah hampir 11 malam .Hanya suami yang mengikut sepupu naik ke wad sementara aku dan anak2 hanya menunggu dibawah.

Sebelum itu suami sepupu di temani anak sulong nya yang baru saja tamat belajar di UPM ..bakal guru.....kasihan si ayah yang sakit tak dapat nak melihat sendiri anak nya di majlis konvokesyen baru2 ni Sepupu ni hanya ada 2 anak perermpuan ,si bongsu masih tahun 1 di UPSI.Sepupu berkerja jadi terpaksa lah dia ulangalik dari rumah 2 atau 3 hari sekali.
Aku dan anak2 tunggu agak lama ...hati tertanya2 kenapa suami tak turun2 lagi .Hampir sejam juga lah menunggu baru nampak kelibat si ayah .Suami bagitau suami sepupu terpaksa dihantar ke bilek bedah malam itu juga.
Olehkerana anak2 dah mengantuk amat kami terus balik tetapi terlajak lah pulak nak u turn,last2 terus ke bandaraya ...jalan sesak lah pulak ...tak tau lah pulak jalan depan MBJB ditutup waktu malam sebab hari2 biasa waktu siang selalu lengang.Baru tau ada tarikan baru SKRIN ANGKASA kat situ ...cantik dan berwarnawarni...terpukau seketika melihat keindahan ...tapi budak2 takde mood dah, nak snap gambar ...mengantuk dah...tak boleh nak tunggu lagi terus cari jalan lain untuk pusing balik.
                                   gambar sumber google

Friday 12 December 2014

suami yang baik

ASSALAMMUALAIKUM
Salam Jumaat yang barakah

       Untuk renungan kita bersama.Apakah kita selalu menjadi isteri yang kurang akal itu?...

Wednesday 10 December 2014

ke rumah kakak

Assalamualaikum,
salam Rabu.
olehkerana kereta masih baru  keluar lagi wad.....tak beranilah nak menyusur jalan (seperti kata hainomokje) jauh2... takut pula belum pulih sepenuhnya ...segala yang dirancang sebelum cuti sekolah nampakya terpaksa dibatalkan...kalau setakat mengukur jalan kat Johor ni bolehlah lagi....sabar jelah anak2!..
2 hari lepas kami balik kampung kakak di Belahan Tampok (tempat yang popular dengan ceketeng yang duk tersiar kat Majalah 3 bebrapa bulan lepas).

                inilah rupa ceketeng
Sudah tiada emakayah lagi untuk diziarahi pada kakak lah pula beralih arah.Seperti balik ke rumah emak juga satu ketika dulu begitu juga kakak bila kami nak balik sibuklh juga dia mmbekalkn pelbagai hasil2 kmpung seperti buah betik,ikan sungai daging ayam kampung ...aku pun suka merayau2 sekitar rumah...boleh ambil pucuk2 dan terung pipit.....sedap buat sambal...betul2 tak pernah tangan kosong bila kerumah dia

Balik singgah bandar Pontian....saja jalan2 petang cuaca pun redup seronok tengok anak2 kecil bermain tapi Iman hanya minat main buih2 yang memang ada dijual disitu....2 rm je bagi buih kecil 6rm untuk buih besar....udahnya bukan Iman yang lebih bermain.....Iqa lebih2 lagi...



Hasrat hati nak makan2 kat sini tapi hari dah hampir Maghrib.....teruskan perjalanan,maghrib kami pun di masjid Pekan Nenas....dah hampir  tiba tempat kami baru singgah makan malam....itupun bukan tempat yang teringin sangat nak makan....kedua2nya tutup....
Setengahhari tu dapatlah menghilangkan sedikit kebosanan budak2 cuti sekolah ni....

Monday 8 December 2014

buah keranji

assalammualaikum
Masa  MAHA tempohari Fateha ada beli buah keranji ,waktu balik cuti tempohari dia bawak balik sekali...saja nak memperkenalkan pada kami yang tak tahu camna rupa buahnya.Ialah selama ni pun aku yang seusia ni hanya tau pantun BUAH KERANJI DALAM PERAHU je.Fateha pun kenal buah keranji bila kawan dia selalu bawa balik dari Terengganu....rasanya orang pantai timur dah tak hairan buah ni cam kami.

                             inilah rupa buah keranji kering yang dibelinya...murah je pun sepaket rm 4.mungkin warna sebenarnya dah berubah tak seperti buahnya yg segar.
                        bila nak makan kena kopek dulu....isinya nipis je pun.Rasanya masam2 manis tapi masam lagi asam jawa Dalamnya ada biji tapi kecil.Azim dan Iman yang peminat masam....orang duk bercerita pasal buah keranji dia sibuk ngap ke mulut....tengok dah tinggal kulit...
Teringin nak lihat buah keranji segar.....

Friday 5 December 2014

BERSYUKUR

Assalamualaikum...
Bersujud syukur di akhir peperiksaan SPM ..Begitulah gelagat kawan2 sekolah Iqa...Alhamdulilah,



Wednesday 3 December 2014

penatnya berkemas /membongkar

Assalammualaikum....
semoga kawan2 diberi kesihatan yang baik
Aktiviti aku hari ini meneruskan kerja2 mengemas dan memilih barang yang tak diperlukan lagi untuk dibuang atau dikitar semula.Semalam juga sudah bertimbun2 kertas2 dan buku2 yang telah diasingkan....dengan anak2 yang 5 orang ni sudah cukup banyak buku2 yang terkumpul walaupun telah banyak yang dibuang ,dibakar dan dikitar semula.Tambah menyulitkan lagi bila pembeli barang kitar semula tak mahu mengambil barang2 kertas katanya ...tak tau lagi mana nk aku letakkan buku2 yang banyak ni.
Kami bercadang nak baikpulih dan ubahsuai rumah akhir bulan ni ,itu yang terpaksa bongkar segala khazanah .....hmmm kalau tak buat sedikit demi sedikit memang penat amat jadinya....tapi aku ada pembantu yang amat suka bab angkat mengangkat ,alih mengalih ni....Iman ni kalau tak buat kerja2 ni dengan dia boleh merajuk...ntah apa yang dia suka sangat agaknya kerja2 memenatkan ni...
Bila dah buat kerja2 membongkar ni....banyak lah terjumpa hartakarun (ialah tu) ...ialah aku ni tinggal dengan arwah mertua banyak barang2 dan kertas2 antik yang jumpa...itu yang Iman suka sangat nak mengetahui...antaranya setem ni....dah berusia 30tahun dah....

Tuesday 2 December 2014

Hari terakhir sekolah

ASSALAMMUALAIKUM
Alhamdulilah selesai sudah perjuangan Iqa dengan SPM nya hari ini.Hari ini dia bakal melangkahkan kaki meninggalkan terus alam persekolahannya ....meninggalkan kawan2 dan guru2 juga sekolah yang disayanginya.Jika hadir semula ke sekolah satu hari nanti terutama nya ketika result tak kan sama dengan suasana hari ini dan sebelum....Walaupun aku tak dapat melihat keadaan mereka ketika ini namun tentunya suasana majlis jamuan perpisahan ketika ini amat syahdu...
Aku pun sedih juga sedar tak sedar anak dara aku dah habis sekolah .Selesai sudah urusan menghantar dan menjemput dan melawat dia di sekolah .
Katanya tak mahu terus pulang ke rumah....nak menghabiskan masa bersama kawan2 karibnya .Cadangnya nak ke Mersing  untuk ke Pantai Air Papan .Aku pun dah lama sangat tak ke sana ,tak tau bagaimana keadaan sekarang.....Satu ketika dulu memang pantai yang cantek dan ramai yang buat aktiviti keluarga di sana
                 Pantai Air Papan Mersing (sumber google)
.Pesan si ayah agar hati2 kerana sekarang musim tengkujuh ...
Tak tau lagi apa perancangan nya untuk cuti yang panjang ni  samada mengikuti krusus2 atau bekerja sementara  atau jadi maid aku kat rumah ni aje....

Monday 1 December 2014

naik bas

Assalammualaikum
Pagi semalam menghantar Fateha ke hentian bas untuk kembali ke tempat belajar .Katanya hari ini sudah ada exam ..itu yang kena balik awal untuk belajar sedikit sebanyak .Dah balik naik bas kembali ke sana pun kenalah naik bas juga ...nak menghantar dia ke sana takde kesempatan oleh si ayah yang selalu sibuk ...
Agak lama dah dia  tak naik bas ,agak lama juga kami tak menghantar dia menunggu bas yang dinaiki tiba.Biasanya balik bersama si abang ...dia duk menyandar je kat belakang bagai datin si abang drivernya ...bawa apa saja yang nak dibawa dari rumah .Dah naik bas kenalah bercatu barang yang dibawa
Seperti biasa kami hantar dia di hentian Skudai saja dan tak perlu ke Terminal Larkin lagi sekarang seperti mana menghantar si abang ketika baru2 belajar dulu....maklumlah ketika itu belum ada pengalaman anak belajar agak jauh .... agak payah juga terpaksa hadap kesesakan dan mengejar masa .Sekarang ni hentian Skudai pun dah diubahsuai...agak selesa untuk menunggu bas ,tempat duduk banyak disediakan ..redup dengan pokok2 rendang tapi masalahnya kalau hujan pandai2 lah cari tempat teduh sendiri....tiada disediakan tempat berteduh.
Bawa Iman sekali walaupun dia cukup bosan kalau menunggu2 ni.Macam2lah ragamnya sekejap nak air sekejap sakit perut ....bila kakak naik bas hilang semua...Nak ditinggal kita jenuh nak menjawap telefon dia saja asyik tanya bila nak balik....
                                   Aksi2 kebosanan Iman



                                            bosannnnn......
         Akhirnya bas yang dinanti pun tiba...bye2 Fateha...

Saturday 29 November 2014

malam misteri

ASSALAMMUALAIKUM
salam sabtu dan selamat bercuti...bagi warga Johor pun hari ini hari cuti sempena Hol Almarhum sultan .
Sebenarnya aku dah taip omelan ini malam tadi lagi cuma tak sempat nk post....kebetulan sewaktu syok menaip blackout lah pulak di seluruh kawasan kediaman kami.Tapi feeling nak menaip  semakin seronok pulak ...sesuai lah dengan cerita ni.
Hari Khamis lepas Fateha kata nak balik tapi hanya habis kuliah jam 4 petang.Si abang tak dapat balik sama kerana banyak periksa...cuma sempat menghantar ke TBS .Pergi ke terminal bas terus  beli tiket bas ekpress KKKL untuk  8.30 malam ke JB.Malangnya hanya pukul 9 malam bas baru nak gerak ....Dah tentunya kami yang nak mengambil dia juga terpaksa keluar rumah agak lewat malam.Kalau diikutkan memang tak benarkan dia balik malam tapi agak kesuntukan masa dia kami redha je ...
Biasanya perjalanan bas antara KL dengan JB lebih kurang 3 1/2 -4jam saja....jika tak de masaalah dalam perjalanan.Olehkerana aku kurang sehat hanya Azim jadi peneman ayahnya menjemput Fateha ......keluar rumah pun dah jam 11.30malam....bagi orang KL mungkin waktu2 gini masa awal lagi..Tunggulah mereka berdua di hentian bas Skudai tempat anak2 ni  biasa turun bas. Fateha tiba lebih kurang pukul 12.40 malam...terus berdesum mereka  pusing balik ....dah jalan agak lengang waktu2 ini... si ayah bawa kereta agak laju agar cepat tiba ke rumah kerana mata dah mengantuk amat dan keletihan
Lebih kurang 6-7 km dari rumah kami tiba2 enjin kereta terhenti sewaktu menuruni bukit .Kebetulan pula tempat itu lampu jalan sedang diubahsuai semula.walaupun enjin terhenti kereta masih boleh menuruni bukit sehingga tiba dihadapan sebuah taman perumahan yang agak terpencil tapi lampu jalan juga takde .Setakat itu saja kereta boleh bergerak....dalam keadaan cemas suami mengunci kereta dari dalam sambil sibuk menghubungi sesiapa untuk minta bantuan.Waktu itu jam dah pun 1.20 pagi....Aku yang tinggal kat rumah pun dah resah menunggu orang tak balik2 lagi.Azim telefon kata kereta rosak lagi....sebenarnya kawasan yang mereka berhenti tu kata orang agak keras...banyak sangat cerita2 mistik yang ramai dah ketahui sejak lama dulu lagi.....ramai yang dah jumpa mahluk2 yang tak sepatutnya ditemui disini Satu ketika dulu ada banglo tinggal di situ tapi sekarang telah dirobohkan Gelap dan sepi ketika itu hanya sesekali ada kenderaan lalu .Azim dengan Fateha memang taktau apa2 kalau tak mahu kecut perut mereka .....kata si ayah mereka siap layan game lagi....Tak lama kemudian satu kereta berhenti ,,,,alhamdulilah polis peronda rupanya.Setelah bertanya bagai2  mereka dengan baik hatinya nak menunggu sehingga encik pomen datang.....ialah kereta pun baru kembali dari bengkel.Kebetulan pula bila suami telefon dia belum tidur lagi.Bila encik pomen datang dan start kereta tanpa usik apa2,,,,enjin berfungsi seperti biasa ..Sempat encik pomen ajak singgah bengkel untuk periksa apa masaalahnya...takde apa2 .silap pun .....huuuu pelik bebeno...nyaris mereka kena tido tepi jalan yang penuh MISTERI...

Friday 28 November 2014

rezeki

Assalammualaikum
salam Jumaat yang mulia
Buat renungan kita bersama menilai erti rezeki yang diberi oleh Allah....

Thursday 27 November 2014

ikut mood...

Assalammualaikum
2 potong kain  pemberian seorang kawan terbiar agak lama tak terusik.Tambahan pula Fateha dan Iqa jarang sekali nak pakai baju kurung....biasanya ada majlis perkahwinan atau hari raya atau majlis di tempat belajar/sekolah juga untuk prep je baru nak cari baju kurung....jadi nya mood aku untuk menjahit juga merudum ....
Pagi ni bila terpandang balik kain2 tu....terfikir pula bagai tak hargai hadiah yang diberi.Terus ambil gunting dan pita pengukur .....bentang kain depan TV....potong atas bawah kiri kanan ....siap...tinggal untuk dijahit tepi dan cantum kan saja....tapi ntah bila pula ...taktau lagi....heheee.


Wednesday 26 November 2014

perasaanku...

ASSALAMMUALAIKUM.....
salam pagi rabu yang indah...
Iman seronok dapat basikal baru....si ayah  lega buah hati (kereta ) dah balik...Aku saja yang tak dapat nak seronok sangat walaupun dah dapat nak merempet kan Kak Yon..
.
Aku pun tak tau apa perasaan aku tika diberitahu ada ketumbuhan dalam rahim(fibroid)...sesuatu yang tak pernah terfikir akan hidapinya.Namun sebelum buat medical checkup aku dah sedia terima apa saja keputusan .Walaupun pada hakikat nya aku dapat terima namun hati kecil rasa hiba juga....apatah lagi bila suami kata walau apa pun dia tetap disisi.....sayu sangat..cepat2 aku berlalu .Melalui pembacaan aku dapat tahu fibriod ni biasanya dialami oleh wanita yang tak mempunyai anak atau lambat dapat anak ....tapi aku anak dah berderet 5 orang.Salah satu penyumbang pada penyakit ini adalah keturunan...rasa aku tak de seorang pun keturunan ku yang kena rupa ni...obesiti juga adalah penyebabnya.....obesiti ke aku ni...rasa nya belum kot...
Ntahlah banyak sangat kata penyebabnya....malas nak memikirkan...yang penting aku nak sehat semula dan dapat beribadah dengan tenang dan tak bermasaalah ....juga demi untuk suami dan anak2 .

Tuesday 25 November 2014

tengok apa?

ASSALAMMUALAIKUM
Salam selasa....
Walaupun hari2 yang dilalui sehari dua ni tak seceria selalu namun kehidupan mesti diteruskan juga.Kereta yang sakit terpaksa juga masuk wad....sebelum ni tak pernah terpisah walau sehari menjadikan kami rindu tanpanya...(bukan pe pun seperti kata kakyon ...dah macam patah kaki jadinya).
Sementara menjelang senja aku duduk di beranda sambil melihat kenderaan yang lalulalang depan rumah.....maklumlah teringat kereta sendiri ,banyak sangat pekara yang tertangguh dah.Datang  Azim mendapat kan aku sambil bertanya "mak tengok apa tu?....tengok masa depan ke?".....Hiss budak ni kacau je....aku cakap dengan dia .masa depan aku ni tak lah panjang mana pun,tak seperti masa depan kamu yang jauh nunnnn.....


Saturday 22 November 2014

bila kereta meragam...

ASSALAMMUALAIKUM

Hari Sabtu yang menggugat kesabaran....kenderaan yang sememang nya jadi keutamaan zaman sekarang ni dah semput pagi2 lagi.Segala yang dirancang tak dapat nak di laksana...Inilah kali pertama kereta ni buat hal sejak beli...bateri dan minyak pelincir baru saja diganti....apalah masalah agaknya.Telefon pomen 9.30 pun tak bangun lagi...telefon off....kenalah suami pergi ke kedai dia.Bila datang start kereta boleh pula...ditinggalnya balik katanya ambil barang tapi sampai ni batang hidung pun tak nampak lagi....hiss sakit jiwa dibuatnya.....
Hari ini Sabtu sememangnya hari cuti di Johor apatah lagi hari ini hari Keputeraan  Sultan Johor ,cadangnya nak melawat Iqa di asrama .Sejak sebelum SPM lagi dah tak balik rumah...katanya nak makan masakan mak Tak mau  yang beli punya ...Tempohari belikan KFC pun katanya dah biasa kawan2 belanja....hari ini cadangnya nak masak2 bagai untuk dia tapi ntah lah ...tak kan nak naik bas bawak mangkuk tingkat pulak...dah macam mamat bangla pergi kerja pulak nanti....huhuuuu.
Cadangnya sebelum ke tempat Iqa ,nak singgah klinik untuk medical checkup ....masaalah kesihatan yang aku alami dah berlarutan ,baru harini hati aku terbuka nak buat pemeriksaan ...Iqa pun tak lama lagi abis periksa kalau ada apahal pun dia tak terganggu...
Banyak sangat cadangnya tapi nampak gayanya semua kena tangguh....
Yang budak berdua ni pulak tengok minyak gamat kat beranda ....boleh pulak buat lawak "dari tadi  tengok minyak gamat ni ....ayah sapu kat kereta ke?kan kereta sakit....Grrr....dalam ketensionan ni tak mampu rasanya nak senyum pun....

Friday 21 November 2014

jenaka bermakna

ASSALAMMUALAIKUM
salam Jumaat yang barakah
moga kawan2 dan adek2 blogger sehat hendaknya
sekadar berkongsi wall dari fb seorang kawan
Jenaka yang bermakna untuk direnungkan

Wednesday 19 November 2014

hati ayah

ASSALAMMUALAIKUM
salam hari rabu
bila buka tv dengar MHI perkatakan HARI LELAKI sedunia hari ini....kali pertama aku dengar .Apa pun lelaki yang istimewa dalam hidup aku dah pun berlalu ke tempat kerja Lelaki bujang ku usai solat subuh tarik selimut menyambung mimpi...si bujang kecil masih lagi demam walaupun ada sambutan hari kanak2 disekolah nya hari ini...
13hb November ulangtahun kelahiran lelaki istimewa ku.Suami ku tak pernah kisah pun hari tersebut baginya hanya hari2 biasa yang menambah kan lagi usia yang semakin senja.Tapi bagi anak2 cukup bermakna ....sejak dari malam sebelum pun ada dah wish kat ayah mereka melalui sms.Petang tu si ayah balik agak lewat kerana masaalah ditempat kerja ...Iqa telefon aku kata nak cakap dengan ayah je ...aku bagitau ayah belum balik ...telefon lah ayah sendiri.Tertanya2 juga kenapa hanya dengan ayahnya saja ....
Bila ayahnya balik aku tanya apahal dengan Iqa....Takde apa katanya cuma nak ucap selamat  je dan nak bagi hadiah dia nanti....siap menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi ...si ayah review balik apa yang Iqa nyanyikan.....Hihiii lawak anak dara aku sorang ni tau...tapi aku tau hati kecil ayahnya terharu tapi biasalah lelaki ego tak mahu tunjukkan...
Bagitau suami nak masak yang special sikit....atau makan2 di luar je(.ialah kena minta keizinan walaupun aku menteri kewangan kat rumah ni tapi sumber2 dari saku suami.)....tak payahlah katanya .Aku kata ialah nanti anak2 semua balik baru kita masak2 bagai....itulah yang terbuku dihati rupanya bila diluahkan padaku....ialah nanti kita makan sedap2 anak2 ntah makan apa lah di sana ....ialah tu sebenarnya aku pun mempunyai perasaan yang sama .... anak2 sentiasa dihati apatah lagi bila mengadap hidangan  ....apakah perasaan anak2 seperti kita?

Tuesday 18 November 2014

bibik dah mai...

ASSALAMMUALAIKUM
Lega rasa bila bibik baru dah mai....dua tiga hari yang cukup stress ....terima kasih pada si ayah yang memahami memberikan bibik baru yang comel  dan fresh.Dah tak kuasa nak urut2 lengan dah agaknya Hainom okje....hihiii Kata Azim baru datang memanglah rajin dan  kuat kerja ....yalah tu kalau tanpa dia manalah terlarat aku nak basuh seluar tebal2 yang sememangnya kat rumah ni majority kaum adam.....La ni bibik dah buat kerja2 membasuh ,aku boleh buat kerja2 lain....sempat berblog lagi...
Beli mesin basuh kat kedai yang selalu kami beli barang elektrik....Uncle Apek siap bagi cenderahati comel ...bekas2 kecil untuk mengisi garam atau rempahratus atau apa saja lah ...kalau anak perempuan aku lagi kecil2 lagi mahu dibuatnya main masak2 ni.....

sebelah petang si ayah tukar minyak kereta..ntah apa ke nama aku tak pasti....dapat pula hadiah jam kunen
...walaupun barang  murah2...kalau dah kata free tetap teruja bila menerima...


Monday 17 November 2014

hari sukan dan anugerah cemerlang

ASSALAMMUALAIKUM
Tahun 2014 semakin hampir kepenghujung ....cuti sekolah dah hampir tiba..macam biasalah waktu2 begini diadakan berbagai acara ,seminggu dua yang lalu dah pun diadakan sukan olahraga...ada juga lah Iman turut serta .,perserta bidan terjun ...hasilnya tempat tercorot le...hihiii


Semalam 16hb November hari Anugerah cemerlang dan gradusi murid tahun 6 di sekolah Iman.Tidak seperti anak2 yang  empat terdahulu....selepas periksa aku tau prestasi mereka tapi bila dah guna kan sistem KSSR ni aku  tidak  melihat kertas periksa dia ...tak tau berapa markah yang dia dapat ....tapi aku redha je apa yang termampu pada dia kerana aku sedar aku kurang bagi perhatian pada pelajaran dia  disaat usia semakin kemilau emas ni dibanding dengan kakak abang dia terdahulu  syukur dapat juga dia pelajar cemerlang KSSR ...dapatlah tempat ke2 dari keseluruhan .Alhamdulillah...
                                 Iman sedang menunggu giliran naik pentas
              seperti biasa lah sijil dan piala juga sedikit cenderahati sebagai pembakar semangat pelajar2



Wednesday 12 November 2014

berakhir sudah....

assalammualaikum
Akhirnya bibikku menemui ajalnya setelah lama berkhidmat dengan keluargaku.Sejak2 ni selalu juga sakit2 tapi aku paksa juga buat kerja ...apatah lagi bila budak2 semuanya balik lagilah banyak kerja yang dilakukan....bertimbun2 kain nak kena cuci,Begitu taat melakukan kerja setiap hari ...kalau cuti sehari 2 pun dah banyak kerja nak kena buat....kini aku terpaksa redha ia pergi meninggalkan aku diawal pagi tatakala sedang melakukan rutin hariannya.....dah tak boleh nak selamatkan lagi...takde siapa aku nak minta pertolongan .Aku sedih ...sedih sangat  kerana terpaksa selesaikan kerja2 yang ditinggalkan Tak boleh nak tangguh2kan sebab aku dah rendam kain baju tu semalaman....kenalah memberus dan menyental sendiri ....huhuuuu...aduhai mesin basuh ku....sakit pinggangku selesaikan kerja kamu.

Tuesday 11 November 2014

Outing

ASSALAMMUALAIKUM
Ahad lepas menjengah Iqa di asrama walau hari persekolahan....untuk mengurangkan stres  di saat hadapi exam ni.Katanya nak outing bersama 2 lagi kawan ,ada yang nak pergi bank ,ada yang nak beli barang sikit untuk bekalan di asrama hingga awal bulan ni....cam biasalah ayahnya jadi driver....sumbat je anak gadis 3 orang dalam kereta ...tak lah macam sardin sangat pun walau Iman ada menyelit ...badan masing2 kecil je .Bila balik dari tempat tujuan ...katanya tak mahu balik cepat ..tension asyik menghadap buku...Cadang aku pada si ayah bawa saja pusing2 bandar Johor Bahru sekejap ,walaupun kami berhasrat nak balik cepat tapi kesian pula tengok budak2 ni...Singgah lah sekejap di tepi laut untuk mereka tenangkan fikiran.Nak ke Dangga Bay pun bukan ada pe pun banyak sedang dalam pembinaan semula.Pantai Lido yang satu ketika dulu begitu gah pun dah berubah ....air laut pun dah nun ke tengah bila sudah ditambak untuk pembangunan yang lebih moden.
Seronok melihat Iqa dan kawan2  bersantai sebentar ....tak lama lagi mereka akan terpisah...setelah habis exam nanti masing2 dah mengikut  hala tuju sendiri.Teringat ketika aku sebayanya terpisah terus dengan kawan2 setelah abis sekolah ,hanya bertemu semula setelah lebih 20 tahun itupun sekadar di alam maya.Moga persahabatan mereka kekal hingga ke jannah...

Monday 10 November 2014

kawan Iman


ASSALAMMUALAIKUM
Iman kata nak makan nasi dengan telur goreng kicap.Bila di intai2 dalam peti sejuk takde lagi walau sebutir pun.Aku kata dengan dia kalau nak pergilah beli kat kedai....bila cakap kedai suka je nak pergi ..boleh beli jajan sekali .Tak jauh pun tak sampai 1/4 km pun .Bila pergi ...balik tangan kosong ..."kedai tak bukak "katanya." Iman nak  pergi kedai belakanglah "kata dia lagi .Aku kata pada dia sukatilah kalau rajin....sekejap je dah balik katanya kedai tutup juga ...Jiran terpandang Iman bertanya dari mana...Iman kata lah ke kedai tapi mungkin tak dengar dan tak puashati jawapan Iman sedang aku menyidai kain, cucunya yang juga kawan Iman datang ...ingatkan hendak bertanya pasal sekolah rupanya nak tanya Iman dari mana tadi...Aduhai ...tau lah Iman jarang sekali pergi2 kedai ni...kecoh .Iman kata dengan jujurnya pergi kedai nak beli telur.Takpe2 kata dia nanti dia ambilkan telur kat rumah dia .Aku kata tak payahlah bukannya terdesak sangat pun.Kawan Iman balik tapi datang semula dengan membawa beberapa biji telur dan diberi pada Iman.Ada ke patut dia minta pada atuknya yang kebetulan ada kedai makan  semata2 untuk Iman...hiss bengang dan terharu pun ada.
 .

Sunday 9 November 2014

cuaca dan asap

ASSALAMMUALAIKUM

sejak petang semalam cuaca tak menentu....sepanjang malam hujan turun sesekali lebat dan adakalanya renyai2 .Awal pagi ni di atas sana awan hitam masih kelihatan walaupun hingga saat ini belum ada titis2 hujan.Iman ke sekolah sesi pagi harini kerana ada sukan olahraga .Dengan cuaca begini tak tahu bagaimana acara itu berlangsung.Yang pasti balik nanti tentunya kasut sekolah tak tau rupa apa dah....
Walaupun tidak tinggal di bandar2 besar seperti teman2 blogger ...namun udara yang sepatutnya segar selepas hujan malam tak sesegar yang diharap .Pencemaran dari kilang yang hampir dengan rumah dan asap2 lori yang berbaris depan kilang ni dah cukup menyesakkan dada.Rasanya duduk berkurung dalam rumah lagi selesa....cuaca sejuk seperti ini kalau mahu boleh tarik GEBO..sambung tidur....tapi itu bukan aku ,banyak lagi kerja nak buat.

Saturday 8 November 2014

cicak ke biawak?

ASSALAMMUALAIKUM
salam sabtu
Semalam makcik jiran sebelah rumah yang biasa budak2 kat rumah ni panggil Tok Yah datang menghantar semangkuk kecil urap pegaga...katanya  untuk aku yang suka sangat makan pegaga.(aku sorang je yang makan pun ).Duduk sekejap sambil berbual2 kosong di beranda...yang Iman dalam rumah sibuk mencari ntah apa2 di dalam almari (orang Johor gerobok le)...kemudian dia mendapatkan kami sambil kata ada cicak mati dalam gerobok.Aku kata pada dia buanglah..."Tapi Iman tak pastilah cicak ke BIAWAK "....ketawa besar Tok Yah mendengar kata2 Iman.Ada ke patut biawak dalam gerobok aku?....Aku bagitau dia biawak tu besar sedangkan bila dia buang binatang tu cumalah anak cicak yang masih baby lagi...Iman ni tau... ,tak kan tak tau beza cicak dengan biawak....ke nak buat lawak selamba dia?

Thursday 6 November 2014

buli lagi

ASSALAMMUALAIKUM
salam Khamis yang indah
Isu buli di asrama kembali hangat diperkatakan lagi.Bila melihat video yang ditayangkan berbagai perasaan timbul dibenak hati ....apatah aku juga seorang ibu ...tak dapat dibayangkan persaan ayahibu mangsa buli bila melihat anak mereka dipelakukan seperti itu...sedih melihat tatkala dia merayu kesakitan .
4 anak2 aku banyak membesar di asrama...tapi setahu aku belum pernah mereka hadapi masalah buli .....kalau ada pun setakat barang2 yang remeh je hilang ....itupun biasanya bukan kerana dicuri tapi biasanya tersalah ambil diampaian atau kerana kecuaian sendiri...paling kerap hilang pun sekadar selipar tandas je.....duit?...biasanya kami tak bekalkan banyak pun cukuplah untuk seminggu atau 2 minggu ...tak pernah timbul soal kehilangan duit.
Kalau anak aku menangis ketika di asrama pun bukan kerana dibuli tapi kerana homesick...itupun anak aku yang pertama dihantar ke sekolah yang berasrama ,Fateha seawal tingkatan satu..si abang dah tingkatan 4 baru rasa kehidupan di sana Adik2nya dah takde masaalah.
 Ada juga ibu kawan2 anak ceritakan anak dia dibuli tapi buli budak perempuan yang iri saja setakat suroh cuci tandas  dan sebagainya.Kalau tempat tinggal dekat bolehlah berulang dari rumah tapi kalau jauh kena bersabar je...
Soal buli budak2 ni tak lah jadi isu sangat  tapi cerita2 hantu dan cerita2 mistik ni dah biasa sangat dengar dari mulut budak2 ni ...biasalah kalau duk asrama ada2 je cerita2 yangditokok tambah menakutkan budak2 ni .Apatah lagi kalau kali pertama duk di asrama ...itu lah yang rasa nak balik je...
Tahun depan hanya Azim yang masih tinggal di asrama ...moga di jauhkan dari masalah...



Wednesday 5 November 2014

hujan semalam

ASSALAMMUALAIKUM
Terlebih dahulu Al fatehah untuk allahyarham adik Rafiqin yang telah dijumpai semalam .Takziah untuk keluarganya yang kehilangan anak kesayangan .
Harini sudah 3 hari Atiqa SPM ,katanya harini kertas matematik....setiap pagi juga dia telefon nak dengar suara aku dan ayahnya juga Iman.Aku tau dia masih gementar ...aku juga gementar tapi sebagai ibu dan ayahnya hanya mampu nasihatkan .Moga dia lebih tabah dan tenang menjalani  periksa sebulan ni.
Semalam lebih kurang pukul 6 petang hujan disertai dengan angin yang agak kencang juga guruh dan petir yang agak kuat.Iman keluar sekolah pukul 6.10....walaupun ayahnya datang menjemput tapi baju dan beg sekolah basah kuyup.Sejak mengetahui tentang ribut dan puting beliung di Kedah ....bila ada angin yang agak kencang ketika hujan ni kecut juga hati kecil ni apatah lagi tinggal keseorangan.Iman kata tak nak sekolah lah nak jaga mak takut ada puting beliung .....ceh alasan nak ponteng lah tu...tak payah lah .
Semalam aku tak keseorangan lagi di rumah.Azim sudah pun cuti panjang sehingga tahun depan.Tapi anak bujang aku ni bila dah dengar petir dan guruh kuat dan angin agak kencang dia yang lebih2 menghimpit2 kita.....apatah lagi bila blackout dek petir yang kuat.Apapun bila Iman sampai rumah walaupun hujan masih lebat petir dan angin dah reda.
Sesungguhnya berdoa masa hujan itu waktu yang mutajab ....




Tuesday 4 November 2014

pucuk betik

ASSALAMMUALAIKUM
Bagi setengah orang mungkin tak tertelan dengan rasanya yang pahit tapi aku suka sangat.....kebetulan ada tanam pokok betik sebatang dua ..belum pun sempat nak meninggi dah aku cantas pucuknya.
                     pucuk betik direbus sekejap sehingga lembut
                masa rebus masukkan sedikit daun jambu batu ...petua untuk kurangkan rasa pahit
bila dah agak lembut ,toskan ....aku lebih suka dibuat urap ,makan dengan nasi panas....sedap....tapi makan sorang jelah .....anak dara aku mula juga merasa secubit2 setelah aku terangkan kebaikannya. Pucuk betik yang pahit ini baik untuk penghidap darah tinggi juga .

  

Sunday 2 November 2014

jawapan Iman...

ASSALAMMUALAIKUM

Bekas febreze yang sudah kosong diisinya air lalu di sembur merata.Bila aku tegur untuk main di luar ,lagi lah seronok dia memancit2 kan air ditempat2 yang dia suka .Aku kata dengan dia dari menyembur2 tak tentu hala baik juga pancit kan kat pokok2 bunga...biar pokok2 nampak segar....buat lah dia sikit2....main je lebih.
Pokok keladi aku agak layu kena panas ...aku tanya dia "kenapa pokok tu tunduk je Iman?"selamba je dia menjawap "entah ya ..agaknya dia mengantuk kut"....huhuuu aku ke salah bagi soalan atau Iman memang nak buat lawak....tapi dia sikit pun tak ketawa....aku  yang pening kepala dengan perangai anak aku yang sorang ni yang selalu je keluar jawapan yang tak pernah aku jangka....apa2 lah Iman .





Friday 31 October 2014

November yang bermakna

ASSALAMMUALAIKUM
salam Jumaat yang barakah
Esok 1 Nov.menginjak setahun lagi usia Atiqa ,kini sudah menjadi remaja 17 tahun.Bukanlah hari yang menyeronokkan disaat SPM akan bermula beberapa hari lagi. sedaya mungkin akan melawat dia di asrama ,bukan sebab hari lahir dia saja tapi untuk beri semangat dan restu untuk dia hadapi saat getir yang akan menentukan arah tujunya kelak.
Menjadi pelajar harapan sekolah bukan sesuatu yang membanggakan tapi juga satu tekanan .Bukan saja dia yang stress tapi aku juga turut tertekan melihat dia bertungkuslumus belajar.Biarlah masa berlalu dan SPM cepat berakhir agar lapang fikiran dia dan kami juga .
Moga Iqa dan kawan2 diberi ketenangan untuk hadapi kertas2 soalan periksa.Moga perjuanganmu tak sia2.
Jadi lah insan yang cemerlang bukan saja di dunia malah di akhirat juga.

 rindu saat kecilnya

Monday 27 October 2014

selepas cuti

ASSALAMMUALAIKUM
salam Isnin
sunyi suasana dalam rumah ketika ini...cuti seminggu riuh dengan suara2 omelan ,sakat menyakat ,gurau senda  budak2 5 orang ni.Masing2 dah balik ke destinasi.

Cuti sem  dah pun berakhir ,awal pagi Fateha dengan si abang dah bertolak balik ke kampus . .
walau sudah terbiasa anak2 melangkah pergi....hati masih terasa sayu
 untuk  sarapan  buatkan roti goreng berintikan kentang .Mereka jarang singgah untuk makan di R n R.Bekalkan  sekeping dua untuk alas perut sepanjang perjalanan.
 seorang sebekas kacang kuda rebus yang digoreng bersama ikan bilis ,bawang hiris ,cili kering yg dihiris halus dan daun kari juga sedikit garam....febret Fateha....buat kudapan mereka .